Senin, 24 Juni 2002

PM cemaskan negara

Pengumuman mengejut PM cemaskan negara

23/06/2002 12:29 a.m.
ZAINI HASSAN dan OTHMAN MOHAMAD
KUALA LUMPUR 22 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, 76, mencemaskan seluruh negara petang ini dengan pengumuman mengejut meletakkan jawatan Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan semua jawatan dalam parti.
Bagaimanapun pengumuman itu ditarik balik dalam masa satu jam yang penuh mendebarkan setelah dipujuk oleh seluruh anggota Majlis Tertinggi parti dan pekikan `tarik balik` berulang kali yang penuh emosi dan kesedihan para perwakilan yang menggemuruhkan Dewan Merdeka, PWTC.
Timbalan Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengumumkan keputusan Dr. Mahathir menarik balik peletakan jawatannya dan ia secara spontan disambut dengan tepukan dan teriakan paling bergemuruh daripada beribu orang yang sebelum itu menunggu dengan penuh harapan.
Insiden yang sungguh mendebarkan - pertama kali berlaku dalam sejarah UMNO - disambut dengan tangisan serta jeritan yang sukar digambarkan dan ia tersiar secara langsung melalui televisyen yang ketika itu sedang meliputi ucapan Dr. Mahathir menggulung perbahasannya pada Perhimpunan Agung UMNO ke-56.
Ia tersebar juga ke seluruh dunia apabila agensi-agensi berita asing sempat menghantar `flash` mengenai perletakkan jawatan Dr. Mahathir itu.
Dr. Mahathir, yang menyandang jawatan Perdana Menteri 16 Julai 1981 dan Presiden UMNO 28 Jun 1981, membuat pengumuman itu secara mengejut pada tepat pukul 5.59 petang, iaitu di saat-saat akhir sebelum mengakhiri ucapan penangguhannya.
Sambil tersekat-sekat dalam nada tersebak, beliau berkata: (sebahagian petikan): ``... saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan ... mengumumkan.. satu... peletakan jawatan saya (tersebak sambil meminum air) peletakan jawatan saya sebagai Presiden UMNO dan semua jawatan-jawatan... yang dipegang oleh saya... dalam parti, peletakan saya sebagai pengerusi BN dan semua jawatan dalam BN ...''
Semasa itu, seluruh perwakilan dalam Dewan Merdeka terpaku dan tersentak, dan serentak itu suasana kecoh berlaku dalam dewan itu - para perwakilan tidak bergerak dari Dewan Merdeka.
Datuk Seri Rafidah Aziz - orang pertama yang menerpa ke arah Dr. Mahathir di rostrum sambil berkata: ``... (mengapa)... (tak boleh buat macam ni).''
Dalam keadaan kelam kabut itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyambar mikrofon secara spontan dari tempat duduknya dan berkata: ``kita tidak boleh terima ini... kita minta Datuk Seri tarik balik.''
Abdullah mengumumkan bahawa anggota Majlis Tertinggi sebulat suara menolak hasrat Dr. Mahathir untuk meletakkan jawatan.
Dalam peristiwa yang disaksikan secara langsung oleh seluruh rakyat Malaysia (sebelum siarannya diputuskan), Dr. Mahathir menjawab: `` (tidak, tidak saya telah buat keputusan)... dah lama dah.
Serentak itu, Datuk Hishammuddin Hussein turut meluru ke rostrum sambil menangis memegang bahu Dr. Mahathir dan kesemua ahli MT menyerbu dan mengelilingi Perdana Menteri.
Dr. Mahathir yang dikerumuni oleh para anggota MT, kelihatan sebak, menangis dan menggeleng-gelengkan kepalanya seolah-olah sebagai tanda beliau tidak mahu berganjak dengan keputusannya.
Suasana ketika itu sungguh tegang - para perwakilan menjerit-jerit minta beliau menarik balik keputusannya - tidak mempercayai apa yang berlaku.
Pengerusi Tetap UMNO yang mempengerusi mesyuarat itu, Tun Sulaiman Ninam Shah - turut tersentak. ``Apa dah jadi...apa dah jadi... sabar sikit.''
Suasana di luar Dewan Merdeka - di mana beribu-ribu ahli UMNO dan orang ramai menyaksikan ucapan itu di sebuah skrin besar turut tersentak dan menjerit - masing-masing tergamam.
Dalam suasana tidak menentu itu juga (kira-kira pukul 6.10 petang) Sulaiman meminta para perwakilan yang menyerbu naik atas pentas supaya bertenang.
``Tolong bertenang, saya minta jurugambar-jurugambar keluar dari sana, jurugambar-jurugambar keluar, tolong bertenang... hooi (bunyi jeritan Sulaiman).
``Saya mintak ahli majlis tertinggi ambil tempat masing-masing... saya mintak ahli majlis tertinggi mengambil tempat masing-masing.''
Sulaiman kemudian mengumumkan penangguhan persidangan selama 10 minit.
Pada masa itu (kira-kira 6.16), beberapa orang ahli MT memapah Dr. Mahathir keluar dari dewan itu ke sebuah bilik rehat di belakang pentas.
Para perwakilan lelaki dan wanita dilihat menangis sebahagian lagi menyanyi lagu `UMNO' dan jeritan `Hidup Mahathir' berulang kali.
difahamkan semasa dalam bilik itu, Dr. Mahathir dipujuk oleh isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali - termasuk Abdullah, Rafidah, Tan Sri Khalil Yaakob dan semua naib presiden.
Di pintu utama luar Dewan Merdeka - sekumpulan pemuda - emosional - menjerit-jerit meminta Dr. Mahathir jangan berundur.
Mereka menyanyikan lagu-lagu UMNO, Barisan Kita dan jeritan Hidup Mahathir.
Dalam suasana tidak terkawal di situ - dikerumuni oleh orang ramai dan para wartawan - tenaga polis tambahan dipanggil mengawal keadaan.
Bagaimanapun pada pukul pukul 6.57 petang, Abdullah mengumumkan bahawa Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bersetuju menarik balik keputusannya itu setelah dipujuk oleh MT.
Suasana menjadi reda sedikit. Pada masa itu, Dr. Mahathir telahpun meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Putra - pulang ke kediamannya di Putrajaya.
Serentak itu, pada kira-kira pukul 7.05 petang, doa dibaca oleh Pengerusi Biro Agama UMNO, Tan Sri Dr. Hamid Othman dan para perwakilan - orang ramai menadah tangan mengaminkannya, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku disusuli dengan selawat nabi.
Orang ramai, para pemerhati khususnya pemuda-pemuda di luar dewan kemudian menjerit kesukaan dan menyanyikan lagu-lagu semangat.
Kira-kira pukul 8 malam ini, Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan Dr. Mahathir itu. Mesyuarat dipengerusikan oleh Abdullah.

 
© Utusan Melayu (M) Bhd.
46M, Jalan Lima Off
Jalan Chan Sow Lin,
55200 Kuala Lumpur.
E-mel: