Sabtu, 11 Oktober 2003

OIC

Sampai bila OIC akan terus bincang isu Palestin?

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH dan WAN NORAZAH WAN CHIK

MUKADIMAH: Isu Palestin dan perjuangan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sinonim sejak sekian lama walaupun sehingga kini, pertubuhan itu masih gagal mengembalikan hak Palestin yang dicengkam oleh Israel.
Bagaimanapun, hakikatnya, OIC merupakan satu-satunya landasan yang boleh menyuarakan isu Palestin dengan lebih berkesan berbanding Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang semakin kehilangan taring.
Duta Palestin ke Malaysia, Ahmed El-Farra yang telah 21 tahun berkhidmat di negara ini dan menyaksikan usaha Malaysia mengembalikan maruah negara Arab tersebut, meluahkan rasa hati beliau berhubung harapan terhadap sidang kemuncak OIC kali ini.
SOALAN : Boleh Tuan nyatakan harapan Palestin terhadap sidang kali ini?
JAWAPAN : OIC di tangan Malaysia diharap boleh meluluskan pendirian yang lebih baik berhubung isu Palestin. Kita akui sejak penubuhan OIC, banyak resolusi dicapai tetapi sayangnya hampir tiada yang dilaksanakan secara sewajarnya.
Namun ini bukan semata-mata tugas Malaysia kerana ia memerlukan komitmen semua negara anggota. Sudah tiba masanya kita berganding bahu melaksanakan satu strategi yang praktikal demi kepentingan semua anggota dan ia bukan sekadar terbatas kepada isu Palestin semata-mata.
SOALAN : Mengapa banyak resolusi dicapai tetapi tiada pelaksanaan, apakah ia sekadar untuk simpanan arkib?
JAWAPAN : Kita sendiri tidak tahu kenapa dan ia kelihatan sekadar di atas kertas sahaja. Mungkin juga kerana ada negara anggota yang tidak sepakat mematuhinya setelah menerima tekanan negara lain.
SOALAN : Apakah Tuan menjangkakan isu Palestin akan terus mendominasi sidang kali ini?
JAWAPAN : Soal Palestin dibincangkan pada setiap persidangan malah kerana inisiatif Malaysia, Persidangan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam (ICFM) diadakan sewaktu berlaku keganasan di Palestin. Saya meramalkan isu keganasan Israel akan terus dibincangkan kali ini.
SOALAN : Sampai bila isu Palestin ini akan dibincangkan dan seolah-olah tiada akhirnya?
JAWAPAN : Sejarah OIC dan Palestin itu sendiri sangat sinonim. OIC ditubuhkan kerana isu Palestin. Maka saya merasakan isu ini akan dibincangkan setiap kali mesyuarat OIC. Namun siapa tahu, mungkin setelah isu ini diselesaikan, ia tidak lagi dibincangkan.
SOALAN: Apakah Tuan merasakan isu serangan Israel ke atas Syria bakal membayangi isu Palestin?
JAWAPAN : Soal tersebut tidak timbul sama sekali. Saya tidak merasakan begitu. Soal keganasan dan isu Palestin masih lagi relevan. Pada hemat saya, soal-soal lain seperti ekonomi, sains dan teknologi juga akan turut dibincangkan. Bukankah itu tujuan pertubuhan OIC? Isu serangan ke atas Syria mungkin terkini tetapi masih ramai yang mahukan isu Palestin ini diselesaikan dengan segera.
SOALAN: Presiden Yasser Arafat kini sering gagal menghadiri persidangan luar seperti Sidang Kemuncak NAM awal tahun ini dan OIC kali ini. Apakah ia helah Israel untuk membataskan kepimpinannya atau ada sebab lain yang cuba disembunyikan?
JAWAPAN : Israel sanggup melakukan apa sahaja untuk singkirkan Presiden kami. Presiden sebenarnya sihat dan amat berharap untuk ke Malaysia tetapi rejim Israel tidak membenarkan beliau keluar kerana tertakluk dengan syarat kepungan.
Yasser sendiri khuatir jika keluar dari Palestin, beliau tidak akan dibenarkan kembali ke Palestin sampai bila-bila. Itulah yang paling dibimbangkan beliau, tiada sebab lain.
SOALAN : Tadi Tuan ada sebut Israel sanggup lakukan apa sahaja, apakah mereka juga mahu menyingkirkan Israel daripada OIC pada masa akan datang?
JAWAPAN : Itu tidak mustahil. Ini kerana banyak resolusi yang diluluskan mengecam keganasan dan perbuatan kejam mereka. Terdapat juga resolusi mahukan pemulauan barangan Israel dan sebagainya. Ini boleh memberi kesan kepada mereka dan mereka mendendami Palestin.

Minggu, 23 Februari 2003

Siti, Sheila On 7

Siti, Sheila On 7 - Dominasi APM 2003

SITI dan Duta (Sheila On 7) bersama trofi kemenangan selepas diumumkan sebagai pemenang Anugerah Planet Muzik 2003, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Dua artis paling popular Malaysia dan Indonesia ini bukan sahaja menguasai anugerah bersandarkan kepada populariti yang dipilih oleh peminat, tetapi unggul di mata juri profesional yang mengadilinya daripada sudut kualiti kerja album mereka.
APM adalah majlis anugerah yang mempertandingkan bakat dan populariti karyawan seni Malaysia, Indonesia dan Singapura. Ia dianjurkan oleh Mediacorp dan Beyond DDB.
Siti menerima anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular dan Penyanyi Wanita Terbaik di majlis yang berlangsung selama tiga jam ini. APM 2003 juga memilih penyanyi berkenaan sebagai penerima Anugerah Khas APM 2003.
Pada 2001 dan 2002 anugerah berkenaan diberikan kepada dua nama besar yang telah lebih 20 tahun berjuang dalam dunia penciptaan dan nyanyian iaitu M. Nasir dan Abiet G. Ade.
Setakat ini Siti merupakan satu-satunya penyanyi yang diberi penghormatan berkenaan kerana kejayaannya dalam usia yang masih muda.
``Saya cukup terharu dengan anugerah ini. Gembira diberi penghargaan ini. Pengalaman tujuh tahun dalam bidang seni masih terlalu baru, banyak yang perlu dibaiki.
``APM memberi saya semangat untuk teruskan segalanya. Tetapi saya masih perlukan tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman,'' katanya.
Ucapan ringkas dan tenang Siti disahut gema ``sayang Siti'' oleh sebahagian penonton yang memenuhi Stadium Putra, Kompleks Sukan Bukit Jalil tempat berlangsung acara berkenaan.
Sheila On 7 yang diwakili oleh penyanyi utamanya Duta, kekal sebagai Kumpulan Paling Popular selain Album Terbaik dan Dou/Kumpulan Terbaik.
``Anugerah ini bukan bermakna kami yang terbaik di Indonesia. Rezeki namanya. Saya tidak pernah anggap Sheila On 7 itu popular, kerana yang lebih penting bagaimana buat album untuk dinikmati masyarakat,'' kata Duta yang tidak ditemani rakan-rakan kumpulannya yang lain ke majlis itu.
Sementara artis kelahiran Singapura tetapi mencipta populariti di Malaysia, Jai, mencatat rekod peribadi apabila menerima dua daripada tiga anugerah khas untuk artis dari negara penganjur utama, Singapura.
Album Biru dan solo Melayu pertamanya, Biru memberi peluang kepada Jai memenangi anugerah Lagu Terbaik Singapura dan Album Terbaik Singapura, tetapi tewas kepada Ramli Sarip untuk anugerah Artis Terbaik Singapura.
Jai juga memenangi kategori Artis Baru Lelaki Terbaik.
Penyanyi muda berbakat besar tempatan, Siti Sarah seperti diramal berjaya membawa pulang Anugerah Artis Baru Wanita Terbaik dalam majlis berkenaan dan Anuar Zain sebagai pemenang Anugerah Artis Lelaki Paling Popular.
APM 2003 menampilkan konsep segar di pentas dengan persembahan hebat artis-artis dari tiga negara. Apabila tiga negara bergabung, sudah tentu hasilnya mereka hanya menampilkan yang terbaik sebagai sumbangan kepada negara masing-masing.
Penganjur nampaknya yakin dengan pilihan mereka untuk menampilkan lebih daripada separuh artis-artis baru tiga negara di pentas untuk acara persembahan.
Banyak yang berpendapat menampilkan semula pasangan dua generasi, Tan Sri SM Salim dan Zainal Abidin di pentas dengan lagu `keramat' mereka, Satu sebagai pembuka tirai persembahan adalah idea cukup bijak.
Selepas berbelas tahun `Satu' masih relevan kepada generasi hari ini sehingga nampak benar keserasiannya apabila Siti Nurhaliza, Duta, Tharif dan Zubir turut sama berdendang.
Mungkin bait ``bumi yang kupijak, langit yang kujujung, irama rentak lagu, tiada bezanya,'' sudah cukup untuk menggambarkan situasi muzik di ketiga negara.
Kita saling memerlukan, bersaing secara sihat dan membangun bersama tekad yang `satu'.
Malaysia, Indonesia dan Singapura bersatu dalam muzik, inilah yang kita mahukan.
SENARAI ANUGERAH PLANET MUZIK 2003
Artis Baru Lelaki Terbaik (Jai)
Artis Wanita Baru Terbaik (Siti Sarah)
Dou/Kumpulan Baru Terbaik (Moluccas)
Artis Lelaki Terbaik (Anang)
Artis Wanita Terbaik (Siti Nurhaliza)
Dou/Kumpulan Terbaik (Sheila On 7)
Lagu Terbaik (Ada Apa Dengan Cinta)
Album Terbaik (07 Des - Sheila On 7)
Artis Lelaki Paling Popular (Anuar Zain)
Artis Wanita Paling Popular (Siti Nurhaliza)
Kumpulan Paling Popular (Sheila On 7)
Lagu Paling Popular (Ada Apa Dengan Cinta)
Artis Terbaik Singapura (Ramli Sarip)
Lagu Terbaik Singapura (Biru-Jai)
Album Terbaik Singapura (Biru -Jai)
Anugerah Khas APM 2003 (Siti Nurhaliza)