Sabtu, 11 Oktober 2003

OIC

Sampai bila OIC akan terus bincang isu Palestin?

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH dan WAN NORAZAH WAN CHIK

MUKADIMAH: Isu Palestin dan perjuangan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sinonim sejak sekian lama walaupun sehingga kini, pertubuhan itu masih gagal mengembalikan hak Palestin yang dicengkam oleh Israel.
Bagaimanapun, hakikatnya, OIC merupakan satu-satunya landasan yang boleh menyuarakan isu Palestin dengan lebih berkesan berbanding Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang semakin kehilangan taring.
Duta Palestin ke Malaysia, Ahmed El-Farra yang telah 21 tahun berkhidmat di negara ini dan menyaksikan usaha Malaysia mengembalikan maruah negara Arab tersebut, meluahkan rasa hati beliau berhubung harapan terhadap sidang kemuncak OIC kali ini.
SOALAN : Boleh Tuan nyatakan harapan Palestin terhadap sidang kali ini?
JAWAPAN : OIC di tangan Malaysia diharap boleh meluluskan pendirian yang lebih baik berhubung isu Palestin. Kita akui sejak penubuhan OIC, banyak resolusi dicapai tetapi sayangnya hampir tiada yang dilaksanakan secara sewajarnya.
Namun ini bukan semata-mata tugas Malaysia kerana ia memerlukan komitmen semua negara anggota. Sudah tiba masanya kita berganding bahu melaksanakan satu strategi yang praktikal demi kepentingan semua anggota dan ia bukan sekadar terbatas kepada isu Palestin semata-mata.
SOALAN : Mengapa banyak resolusi dicapai tetapi tiada pelaksanaan, apakah ia sekadar untuk simpanan arkib?
JAWAPAN : Kita sendiri tidak tahu kenapa dan ia kelihatan sekadar di atas kertas sahaja. Mungkin juga kerana ada negara anggota yang tidak sepakat mematuhinya setelah menerima tekanan negara lain.
SOALAN : Apakah Tuan menjangkakan isu Palestin akan terus mendominasi sidang kali ini?
JAWAPAN : Soal Palestin dibincangkan pada setiap persidangan malah kerana inisiatif Malaysia, Persidangan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam (ICFM) diadakan sewaktu berlaku keganasan di Palestin. Saya meramalkan isu keganasan Israel akan terus dibincangkan kali ini.
SOALAN : Sampai bila isu Palestin ini akan dibincangkan dan seolah-olah tiada akhirnya?
JAWAPAN : Sejarah OIC dan Palestin itu sendiri sangat sinonim. OIC ditubuhkan kerana isu Palestin. Maka saya merasakan isu ini akan dibincangkan setiap kali mesyuarat OIC. Namun siapa tahu, mungkin setelah isu ini diselesaikan, ia tidak lagi dibincangkan.
SOALAN: Apakah Tuan merasakan isu serangan Israel ke atas Syria bakal membayangi isu Palestin?
JAWAPAN : Soal tersebut tidak timbul sama sekali. Saya tidak merasakan begitu. Soal keganasan dan isu Palestin masih lagi relevan. Pada hemat saya, soal-soal lain seperti ekonomi, sains dan teknologi juga akan turut dibincangkan. Bukankah itu tujuan pertubuhan OIC? Isu serangan ke atas Syria mungkin terkini tetapi masih ramai yang mahukan isu Palestin ini diselesaikan dengan segera.
SOALAN: Presiden Yasser Arafat kini sering gagal menghadiri persidangan luar seperti Sidang Kemuncak NAM awal tahun ini dan OIC kali ini. Apakah ia helah Israel untuk membataskan kepimpinannya atau ada sebab lain yang cuba disembunyikan?
JAWAPAN : Israel sanggup melakukan apa sahaja untuk singkirkan Presiden kami. Presiden sebenarnya sihat dan amat berharap untuk ke Malaysia tetapi rejim Israel tidak membenarkan beliau keluar kerana tertakluk dengan syarat kepungan.
Yasser sendiri khuatir jika keluar dari Palestin, beliau tidak akan dibenarkan kembali ke Palestin sampai bila-bila. Itulah yang paling dibimbangkan beliau, tiada sebab lain.
SOALAN : Tadi Tuan ada sebut Israel sanggup lakukan apa sahaja, apakah mereka juga mahu menyingkirkan Israel daripada OIC pada masa akan datang?
JAWAPAN : Itu tidak mustahil. Ini kerana banyak resolusi yang diluluskan mengecam keganasan dan perbuatan kejam mereka. Terdapat juga resolusi mahukan pemulauan barangan Israel dan sebagainya. Ini boleh memberi kesan kepada mereka dan mereka mendendami Palestin.