Pengumuman mengejut PM cemaskan negara
23/06/2002 12:29 a.m.
ZAINI HASSAN dan OTHMAN MOHAMAD KUALA LUMPUR 22 Jun - Datuk Seri
Dr. Mahathir Mohamad, 76, mencemaskan seluruh negara petang ini dengan
pengumuman mengejut meletakkan jawatan Presiden UMNO, Pengerusi Barisan
Nasional dan semua jawatan dalam parti.
Bagaimanapun pengumuman itu ditarik balik dalam masa satu jam yang
penuh mendebarkan setelah dipujuk oleh seluruh anggota Majlis Tertinggi
parti dan pekikan `tarik balik` berulang kali yang penuh emosi dan
kesedihan para perwakilan yang menggemuruhkan Dewan Merdeka, PWTC.
Timbalan Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri
mengumumkan keputusan Dr. Mahathir menarik balik peletakan jawatannya
dan ia secara spontan disambut dengan tepukan dan teriakan paling
bergemuruh daripada beribu orang yang sebelum itu menunggu dengan penuh
harapan.
Insiden yang sungguh mendebarkan - pertama kali berlaku dalam sejarah
UMNO - disambut dengan tangisan serta jeritan yang sukar digambarkan
dan ia tersiar secara langsung melalui televisyen yang ketika itu sedang
meliputi ucapan Dr. Mahathir menggulung perbahasannya pada Perhimpunan
Agung UMNO ke-56.
Ia tersebar juga ke seluruh dunia apabila agensi-agensi berita asing
sempat menghantar `flash` mengenai perletakkan jawatan Dr. Mahathir itu.
Dr. Mahathir, yang menyandang jawatan Perdana Menteri 16 Julai 1981
dan Presiden UMNO 28 Jun 1981, membuat pengumuman itu secara mengejut
pada tepat pukul 5.59 petang, iaitu di saat-saat akhir sebelum
mengakhiri ucapan penangguhannya.
Sambil tersekat-sekat dalam nada tersebak, beliau berkata:
(sebahagian petikan): ``... saya ingin mengambil kesempatan ini untuk
mengumumkan ... mengumumkan.. satu... peletakan jawatan saya (tersebak
sambil meminum air) peletakan jawatan saya sebagai Presiden UMNO dan
semua jawatan-jawatan... yang dipegang oleh saya... dalam parti,
peletakan saya sebagai pengerusi BN dan semua jawatan dalam BN ...''
Semasa itu, seluruh perwakilan dalam Dewan Merdeka terpaku dan
tersentak, dan serentak itu suasana kecoh berlaku dalam dewan itu - para
perwakilan tidak bergerak dari Dewan Merdeka.
Datuk Seri Rafidah Aziz - orang pertama yang menerpa ke arah Dr.
Mahathir di rostrum sambil berkata: ``... (mengapa)... (tak boleh
buat macam ni).''
Dalam keadaan kelam kabut itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi menyambar mikrofon secara spontan dari tempat
duduknya dan berkata: ``kita tidak boleh terima ini... kita minta Datuk
Seri tarik balik.''
Abdullah mengumumkan bahawa anggota Majlis Tertinggi sebulat suara menolak hasrat Dr. Mahathir untuk meletakkan jawatan.
Dalam peristiwa yang disaksikan secara langsung oleh seluruh rakyat
Malaysia (sebelum siarannya diputuskan), Dr. Mahathir menjawab: ``
(tidak, tidak saya telah buat keputusan)... dah lama dah.
Serentak itu, Datuk Hishammuddin Hussein turut meluru ke rostrum
sambil menangis memegang bahu Dr. Mahathir dan kesemua ahli MT menyerbu
dan mengelilingi Perdana Menteri.
Dr. Mahathir yang dikerumuni oleh para anggota MT, kelihatan sebak,
menangis dan menggeleng-gelengkan kepalanya seolah-olah sebagai tanda
beliau tidak mahu berganjak dengan keputusannya.
Suasana ketika itu sungguh tegang - para perwakilan menjerit-jerit
minta beliau menarik balik keputusannya - tidak mempercayai apa yang
berlaku.
Pengerusi Tetap UMNO yang mempengerusi mesyuarat itu, Tun Sulaiman
Ninam Shah - turut tersentak. ``Apa dah jadi...apa dah jadi... sabar
sikit.''
Suasana di luar Dewan Merdeka - di mana beribu-ribu ahli UMNO dan
orang ramai menyaksikan ucapan itu di sebuah skrin besar turut tersentak
dan menjerit - masing-masing tergamam.
Dalam suasana tidak menentu itu juga (kira-kira pukul 6.10 petang)
Sulaiman meminta para perwakilan yang menyerbu naik atas pentas supaya
bertenang.
``Tolong bertenang, saya minta jurugambar-jurugambar keluar dari
sana, jurugambar-jurugambar keluar, tolong bertenang... hooi (bunyi
jeritan Sulaiman).
``Saya mintak ahli majlis tertinggi ambil tempat masing-masing...
saya mintak ahli majlis tertinggi mengambil tempat masing-masing.''
Sulaiman kemudian mengumumkan penangguhan persidangan selama 10 minit.
Pada masa itu (kira-kira 6.16), beberapa orang ahli MT memapah Dr.
Mahathir keluar dari dewan itu ke sebuah bilik rehat di belakang pentas.
Para perwakilan lelaki dan wanita dilihat menangis sebahagian lagi
menyanyi lagu `UMNO' dan jeritan `Hidup Mahathir' berulang kali.
difahamkan semasa dalam bilik itu, Dr. Mahathir dipujuk oleh
isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali - termasuk Abdullah,
Rafidah, Tan Sri Khalil Yaakob dan semua naib presiden.
Di pintu utama luar Dewan Merdeka - sekumpulan pemuda - emosional - menjerit-jerit meminta Dr. Mahathir jangan berundur.
Mereka menyanyikan lagu-lagu UMNO, Barisan Kita dan jeritan Hidup Mahathir.
Dalam suasana tidak terkawal di situ - dikerumuni oleh orang ramai
dan para wartawan - tenaga polis tambahan dipanggil mengawal keadaan.
Bagaimanapun pada pukul pukul 6.57 petang, Abdullah mengumumkan
bahawa Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bersetuju menarik balik
keputusannya itu setelah dipujuk oleh MT.
Suasana menjadi reda sedikit. Pada masa itu, Dr. Mahathir telahpun
meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Putra - pulang ke kediamannya di
Putrajaya.
Serentak itu, pada kira-kira pukul 7.05 petang, doa dibaca oleh
Pengerusi Biro Agama UMNO, Tan Sri Dr. Hamid Othman dan para perwakilan -
orang ramai menadah tangan mengaminkannya, diikuti dengan nyanyian lagu
Negaraku disusuli dengan selawat nabi.
Orang ramai, para pemerhati khususnya pemuda-pemuda di luar dewan kemudian menjerit kesukaan dan menyanyikan lagu-lagu semangat.
Kira-kira pukul 8 malam ini, Majlis Tertinggi UMNO mengadakan
mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan Dr. Mahathir itu.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Abdullah.
|