Siti, Sheila On 7 - Dominasi APM 2003
|
Dua artis paling popular Malaysia dan Indonesia ini bukan sahaja
menguasai anugerah bersandarkan kepada populariti yang dipilih oleh
peminat, tetapi unggul di mata juri profesional yang mengadilinya
daripada sudut kualiti kerja album mereka.
APM adalah majlis anugerah yang mempertandingkan bakat dan populariti
karyawan seni Malaysia, Indonesia dan Singapura. Ia dianjurkan oleh
Mediacorp dan Beyond DDB.
Siti menerima anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular dan Penyanyi
Wanita Terbaik di majlis yang berlangsung selama tiga jam ini. APM 2003
juga memilih penyanyi berkenaan sebagai penerima Anugerah Khas APM 2003.
Pada 2001 dan 2002 anugerah berkenaan diberikan kepada dua nama
besar yang telah lebih 20 tahun berjuang dalam dunia penciptaan dan
nyanyian iaitu M. Nasir dan Abiet G. Ade.
Setakat ini Siti merupakan satu-satunya penyanyi yang diberi
penghormatan berkenaan kerana kejayaannya dalam usia yang masih muda.
``Saya cukup terharu dengan anugerah ini. Gembira diberi penghargaan
ini. Pengalaman tujuh tahun dalam bidang seni masih terlalu baru, banyak
yang perlu dibaiki.
``APM memberi saya semangat untuk teruskan segalanya. Tetapi saya
masih perlukan tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman,''
katanya.
Ucapan ringkas dan tenang Siti disahut gema ``sayang Siti'' oleh
sebahagian penonton yang memenuhi Stadium Putra, Kompleks Sukan Bukit
Jalil tempat berlangsung acara berkenaan.
Sheila On 7 yang diwakili oleh penyanyi utamanya Duta, kekal sebagai
Kumpulan Paling Popular selain Album Terbaik dan Dou/Kumpulan Terbaik.
``Anugerah ini bukan bermakna kami yang terbaik di Indonesia. Rezeki
namanya. Saya tidak pernah anggap Sheila On 7 itu popular, kerana yang
lebih penting bagaimana buat album untuk dinikmati masyarakat,'' kata
Duta yang tidak ditemani rakan-rakan kumpulannya yang lain ke majlis
itu.
Sementara artis kelahiran Singapura tetapi mencipta populariti di
Malaysia, Jai, mencatat rekod peribadi apabila menerima dua daripada
tiga anugerah khas untuk artis dari negara penganjur utama, Singapura.
Album Biru dan solo Melayu pertamanya, Biru memberi peluang kepada
Jai memenangi anugerah Lagu Terbaik Singapura dan Album Terbaik
Singapura, tetapi tewas kepada Ramli Sarip untuk anugerah Artis Terbaik
Singapura.
Jai juga memenangi kategori Artis Baru Lelaki Terbaik.
Penyanyi muda berbakat besar tempatan, Siti Sarah seperti diramal
berjaya membawa pulang Anugerah Artis Baru Wanita Terbaik dalam majlis
berkenaan dan Anuar Zain sebagai pemenang Anugerah Artis Lelaki Paling
Popular.
APM 2003 menampilkan konsep segar di pentas dengan persembahan hebat
artis-artis dari tiga negara. Apabila tiga negara bergabung, sudah tentu
hasilnya mereka hanya menampilkan yang terbaik sebagai sumbangan kepada
negara masing-masing.
Penganjur nampaknya yakin dengan pilihan mereka untuk menampilkan
lebih daripada separuh artis-artis baru tiga negara di pentas untuk
acara persembahan.
Banyak yang berpendapat menampilkan semula pasangan dua generasi, Tan
Sri SM Salim dan Zainal Abidin di pentas dengan lagu `keramat' mereka,
Satu sebagai pembuka tirai persembahan adalah idea cukup bijak.
Selepas berbelas tahun `Satu' masih relevan kepada generasi hari ini
sehingga nampak benar keserasiannya apabila Siti Nurhaliza, Duta, Tharif
dan Zubir turut sama berdendang.
Mungkin bait ``bumi yang kupijak, langit yang kujujung, irama rentak
lagu, tiada bezanya,'' sudah cukup untuk menggambarkan situasi muzik di
ketiga negara.
Kita saling memerlukan, bersaing secara sihat dan membangun bersama tekad yang `satu'.
Malaysia, Indonesia dan Singapura bersatu dalam muzik, inilah yang kita mahukan.
SENARAI ANUGERAH PLANET MUZIK 2003Artis Baru Lelaki Terbaik (Jai)
Artis Wanita Baru Terbaik (Siti Sarah)
Dou/Kumpulan Baru Terbaik (Moluccas)
Artis Lelaki Terbaik (Anang)
Artis Wanita Terbaik (Siti Nurhaliza)
Dou/Kumpulan Terbaik (Sheila On 7)
Lagu Terbaik (Ada Apa Dengan Cinta)
Album Terbaik (07 Des - Sheila On 7)
Artis Lelaki Paling Popular (Anuar Zain)
Artis Wanita Paling Popular (Siti Nurhaliza)
Kumpulan Paling Popular (Sheila On 7)
Lagu Paling Popular (Ada Apa Dengan Cinta)
Artis Terbaik Singapura (Ramli Sarip)
Lagu Terbaik Singapura (Biru-Jai)
Album Terbaik Singapura (Biru -Jai)
Anugerah Khas APM 2003 (Siti Nurhaliza)