Sampai bila OIC akan terus bincang isu Palestin?
Oleh AZLINARIAH ABDULLAH dan WAN NORAZAH WAN CHIK
MUKADIMAH: Isu Palestin dan perjuangan Pertubuhan Persidangan Islam
(OIC) sinonim sejak sekian lama walaupun sehingga kini, pertubuhan itu
masih gagal mengembalikan hak Palestin yang dicengkam oleh Israel.
Bagaimanapun, hakikatnya, OIC merupakan satu-satunya landasan yang
boleh menyuarakan isu Palestin dengan lebih berkesan berbanding
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang semakin kehilangan taring.
Duta Palestin ke Malaysia, Ahmed El-Farra yang telah 21 tahun
berkhidmat di negara ini dan menyaksikan usaha Malaysia mengembalikan
maruah negara Arab tersebut, meluahkan rasa hati beliau berhubung
harapan terhadap sidang kemuncak OIC kali ini.
SOALAN : Boleh Tuan nyatakan harapan Palestin terhadap sidang kali ini?
JAWAPAN : OIC di tangan Malaysia diharap boleh meluluskan pendirian
yang lebih baik berhubung isu Palestin. Kita akui sejak penubuhan OIC,
banyak resolusi dicapai tetapi sayangnya hampir tiada yang dilaksanakan
secara sewajarnya.
Namun ini bukan semata-mata tugas Malaysia kerana ia memerlukan
komitmen semua negara anggota. Sudah tiba masanya kita berganding bahu
melaksanakan satu strategi yang praktikal demi kepentingan semua anggota
dan ia bukan sekadar terbatas kepada isu Palestin semata-mata.
SOALAN : Mengapa banyak resolusi dicapai tetapi tiada pelaksanaan, apakah ia sekadar untuk simpanan arkib?
JAWAPAN : Kita sendiri tidak tahu kenapa dan ia kelihatan sekadar di
atas kertas sahaja. Mungkin juga kerana ada negara anggota yang tidak
sepakat mematuhinya setelah menerima tekanan negara lain.
SOALAN : Apakah Tuan menjangkakan isu Palestin akan terus mendominasi sidang kali ini?
JAWAPAN : Soal Palestin dibincangkan pada setiap persidangan malah
kerana inisiatif Malaysia, Persidangan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan
Persidangan Islam (ICFM) diadakan sewaktu berlaku keganasan di Palestin.
Saya meramalkan isu keganasan Israel akan terus dibincangkan kali ini.
SOALAN : Sampai bila isu Palestin ini akan dibincangkan dan seolah-olah tiada akhirnya?
JAWAPAN : Sejarah OIC dan Palestin itu sendiri sangat sinonim. OIC
ditubuhkan kerana isu Palestin. Maka saya merasakan isu ini akan
dibincangkan setiap kali mesyuarat OIC. Namun siapa tahu, mungkin
setelah isu ini diselesaikan, ia tidak lagi dibincangkan.
SOALAN: Apakah Tuan merasakan isu serangan Israel ke atas Syria bakal membayangi isu Palestin?
JAWAPAN : Soal tersebut tidak timbul sama sekali. Saya tidak
merasakan begitu. Soal keganasan dan isu Palestin masih lagi relevan.
Pada hemat saya, soal-soal lain seperti ekonomi, sains dan teknologi
juga akan turut dibincangkan. Bukankah itu tujuan pertubuhan OIC? Isu
serangan ke atas Syria mungkin terkini tetapi masih ramai yang mahukan
isu Palestin ini diselesaikan dengan segera.
SOALAN: Presiden Yasser Arafat kini sering gagal menghadiri
persidangan luar seperti Sidang Kemuncak NAM awal tahun ini dan OIC kali
ini. Apakah ia helah Israel untuk membataskan kepimpinannya atau ada
sebab lain yang cuba disembunyikan?
JAWAPAN : Israel sanggup melakukan apa sahaja untuk singkirkan
Presiden kami. Presiden sebenarnya sihat dan amat berharap untuk ke
Malaysia tetapi rejim Israel tidak membenarkan beliau keluar kerana
tertakluk dengan syarat kepungan.
Yasser sendiri khuatir jika keluar dari Palestin, beliau tidak akan
dibenarkan kembali ke Palestin sampai bila-bila. Itulah yang paling
dibimbangkan beliau, tiada sebab lain.
SOALAN : Tadi Tuan ada sebut Israel sanggup lakukan apa sahaja,
apakah mereka juga mahu menyingkirkan Israel daripada OIC pada masa akan
datang?
JAWAPAN : Itu tidak mustahil. Ini kerana banyak resolusi yang
diluluskan mengecam keganasan dan perbuatan kejam mereka. Terdapat juga
resolusi mahukan pemulauan barangan Israel dan sebagainya. Ini boleh
memberi kesan kepada mereka dan mereka mendendami Palestin.