Gus Dur, TNI beri ingatan kepada AS
JAKARTA 18 Jan. - Beberapa pemimpin utama Indonesia termasuk Presiden
Abdurrahman Wahid dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengingatkan
Amerika Syarikat (AS) supaya tidak menggugat keamanan republik berkenaan
dengan menggembar-gemburkan isu rampasan kuasa oleh tentera.
Malah TNI melalui panglimanya, Laksamana Widodo A.S. menegaskan,
sejarah pasukan itu telah membuktikan bahawa mereka tidak pernah
melakukan rampasan kuasa atau 'kudeta'.
Dalam pertemuan khusus dengan wartawan di Bina Graha, Istana Merdeka
semalam, Abdurrahman berkata, walaupun Indonesia menghargai sikap AS
yang prihatin terhadap masalah dalam Indonesia, namun ini tidak bermakna
negara kuasa besar itu ''boleh melakukan apa sahaja terhadap
Indonesia.''
''Tentu apa yang kami lakukan adalah urusan kami sendiri. Kami
mengetahui benar situasi kami sendiri kerana itu jangan berfikir akan
ada kudeta,'' tegasnya.
Abdurrahman dan beberapa pemimpin Indonesia membuat kenyataan itu
sebagai mengulas kenyataan Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Richard Holbrooke yang memberi amaran
kepada TNI supaya tidak melakukan kudeta.
Widodo pula menegaskan, tidak terlintas langsung dalam fikiran TNI untuk merampas kuasa.
''Siapa yang mahu kudeta? Anda seharusnya melihat sejarah bahawa selama ini TNI tidak pernah melakukan kudeta.
''Berita itu tidak benar dan bertujuan memburuk serta menjatuhkan
TNI,'' katanya kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan Dewan
Pertimbangan Agung (DPA).
Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Sudrajat pula secara tegas
mengingatkan AS supaya tidak campur tangan dalam urusan dalaman
Indonesia.
''TNI lebih tahu mengenai TNI daripada Holbrooke. Kita mengharapkan
orang di luar Indonesia untuk tidak lagi mencampuri urusan dalam negara
Indonesia,'' katanya.
Menurut Sudrajat, TNI pada dasarnya tetap memegang komitmen dan
sumpahnya serta memberi jaminan bahawa TNI tidak akan pernah melakukan
kudeta.
''Saya berharap bangsa Indonesia akan melupakan isu kudeta ini. Ia
hanya khabar angin sahaja dan berunsur politik kerana TNI tidak akan
melakukan kudeta,'' katanya lagi.
Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Akbar Tanjung pula berkata,
rakyat Indonesia harus berhati-hati terhadap isu kudeta ini, apatah lagi
jika ia digembar-gemburkan oleh pihak luar.
''Kita harus memahami tidak semua pihak luar mempunyai keinginan
untuk melihat Indonesia tenang dan aman,'' katanya kepada wartawan di
sini hari ini.
Beliau berkata, TNI sama sekali tidak akan melaku rampasan kuasa
kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, malah akan
merugikan negara.
''Saya meragui dakwaan bahawa TNI akan melakukan kudeta dan berharap
masyarakat akan terus kritis serta profesional dalam menilai
pemerintahan negara yang ada sekarang,'' katanya.
Sementara itu, pengamat politik dari Universiti Gajah Mada, Afan
Gaffar berkata, kenyataan Holbrooke berhubung isu rampasan kuasa tentera
itu sesuatu yang cukup mengecewakan.
Katanya, ia merupakan satu bentuk campur tangan AS terhadap
pemerintah Indonesia dan memaparkan pengaruh negara kuasa besar itu
dalam politik dalaman negara ini.
''Beberapa bulan lalu, AS juga telah campur tangan dalam penggantian
Ketua Badan Pemulihan Perbankan Negara (BPPN) dan pengaruh mereka
semakin ketara apabila Abdurrahman membatalkan proses perundangan
Perusahaan Listik (Elektrik) Negara (PLN) terhadap sebuah syarikat AS
iaitu PT Paiton,'' katanya.
Beliau berkata, tuduhan yang menyatakan TNI akan melakukan kudeta
adalah tidak munasabah sama sekali kerana pasukan itu amat mengetahui
keadaan dan kemampuannya sekarang ini.
''Isu kudeta ini tidak masuk akal kerana dari mana TNI akan mendapat sokongan rakyat atau masyarakat antarabangsa,'' katanya. - Utusan
Tidak ada komentar:
Posting Komentar