2 Nikmat al-Ijad Dan Nikmat al-Imdad
Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kewujudan lalu menyokong kewujudan itu dengan kelengkapan al-Imdad.
Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:
Bukankah
manusia itu pernah melalui suatu tempoh yang mana dia tidak
disebut-sebut (kerana dia belum wujud)? Kami (Allah) telah mencipta
manusia itu daripada air mani yang bercampur (daripada benih lelaki dan
wanita) untuk Kami mengujinya (dengan perintah dan larangan) lalu Kami
jadikannya boleh mendengar dan melihat. (Kemudian) Kami memberinya
petunjuk ke arah jalan yang lurus, (namun) ada yang bersyukur (beriman)
dan ada yang kufur (ingkar). [Surah al-Insan: 1-3]
Nikmat al-Ijad ialah
nikmat kewujudan kita selepas ketiadaan. Pada asalnya kita tidak wujud.
Kita tidak disebut-sebut kerana kita tidak wujud. Kita pernah melalui
suatu tempoh ketidakwujudan. Lalu Allah Ta'ala mengeluarkan kita
daripada ketidakwujudan kepada kewujudan. Ia merupakan suatu nikmat
kerana Dia ingin memuliakan kita dengan kewujudan lantas dengan
kewujudan tersebut kita menjadi hamba-Nya. Menjadi hamba Allah Ta'ala
adalah suatu kemuliaan. Ini yang boleh difahami menerusi firman Allah
Ta'ala, mafhumnya:
Bukankah manusia itu pernah melalui suatu tempoh yang mana dia tidak disebut-sebut (kerana dia belum wujud)? Kami (Allah) telah mencipta manusia itu daripada air mani yang bercampur... [Surah al-Insan: 1-2]
Ayat pertama tersebut menyatakan
bahawa kita pernah berada di dalam tempoh ketidakwujudan. Dalam ayat
kedua pula menyatakan bahawa Allah Ta'ala mengeluarkan kita daripada
tempoh ketidakwujudan lalu memasukkan kita ke dalam tempoh kewujudan
melalui penciptaan kita daripada air mani untuk menjadi wujud yang
berbentuk manusia.
Apabila Dia telah mengurniakan nikmat al-Ijad, Dia tidak membiarkan kita begitu sahaja lantas Dia terus mengurniakan kita nikmat kedua yang dipanggil nikmat al-Imdad. Nikmat al-Imdad
inilah yang menyokong kewujudan kita. Dia mengurniakan kita
pendengaran, penglihatan, anggota badan, akal dan roh. Dia menyediakan
segala kemudahan untuk kita gunakan dalam melayari kehidupan. Dia
mengurniakan makanan, minuman, harta benda, keturunan, pekerjaan dan
segala-galanya. Tanpa nikmat al-Imdad, sudah pasti nikmat al-Ijad
tidak bernilai. Kita wujud namun kita seakan-akan tidak wujud. Sama
sahaja antara wujud dengan tidak wujud. Justeru itu, Allah Ta'ala
menjelaskan dalam ayat kedua dan ketiga Surah al-Insan bahawa Dia
mengurniakan pendengaran dan penglihatan serta memberi petunjuk ke arah
kebenaran. Dia mengurniakan akal kepada kita untuk menilai. Jika kita
betul dalam penilaian, maka kita akan beriman. Namun jika salah, maka
kita akan kufur.
Imam Ibnu 'Atoillah as-Sakandari (wafat 709 Hijrah) radhiyallahu 'anhu menyebut di dalam hikam beliau:
Pertamanya Dia mengurniakan kewujudan (al-Ijad) kepadamu. Keduanya Dia menganugerahkan kelengkapan (al-Imdad) buatmu.
Guru kami al-'Arif Billah Sayyid Muhammad Kholil al-Khotib radhiyallahu 'anhu
menghuraikan hikam ini dengan berkata, "Dia mengurniakan kewujudan lalu
dengan kewujudan itu lenyaplah ketidakwujudan yang lalu. Kemudian Dia
mengurniakan al-Imdad lalu dengannya hilanglah ketidakwujudan yang akan datang kerana jika Dia tidak mengurniakan al-Imdad
kepada benda yang wujud berupa perkara-perkara yang boleh mendatangkan
manfaat kepadanya serta menolak kemudaratan daripadanya, maka sudah
pasti ianya lenyap seakan-akan tidak pernah wujud."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar