Rabu, 19 Januari 2000

Gus Dur, TNI beri ingatan kepada AS

Gus Dur, TNI beri ingatan kepada AS

JAKARTA 18 Jan. - Beberapa pemimpin utama Indonesia termasuk Presiden Abdurrahman Wahid dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengingatkan Amerika Syarikat (AS) supaya tidak menggugat keamanan republik berkenaan dengan menggembar-gemburkan isu rampasan kuasa oleh tentera.
Malah TNI melalui panglimanya, Laksamana Widodo A.S. menegaskan, sejarah pasukan itu telah membuktikan bahawa mereka tidak pernah melakukan rampasan kuasa atau 'kudeta'.
Dalam pertemuan khusus dengan wartawan di Bina Graha, Istana Merdeka semalam, Abdurrahman berkata, walaupun Indonesia menghargai sikap AS yang prihatin terhadap masalah dalam Indonesia, namun ini tidak bermakna negara kuasa besar itu ''boleh melakukan apa sahaja terhadap Indonesia.''
''Tentu apa yang kami lakukan adalah urusan kami sendiri. Kami mengetahui benar situasi kami sendiri kerana itu jangan berfikir akan ada kudeta,'' tegasnya.
Abdurrahman dan beberapa pemimpin Indonesia membuat kenyataan itu sebagai mengulas kenyataan Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Richard Holbrooke yang memberi amaran kepada TNI supaya tidak melakukan kudeta.
Widodo pula menegaskan, tidak terlintas langsung dalam fikiran TNI untuk merampas kuasa.
''Siapa yang mahu kudeta? Anda seharusnya melihat sejarah bahawa selama ini TNI tidak pernah melakukan kudeta.
''Berita itu tidak benar dan bertujuan memburuk serta menjatuhkan TNI,'' katanya kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan Dewan Pertimbangan Agung (DPA).
Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Sudrajat pula secara tegas mengingatkan AS supaya tidak campur tangan dalam urusan dalaman Indonesia.
''TNI lebih tahu mengenai TNI daripada Holbrooke. Kita mengharapkan orang di luar Indonesia untuk tidak lagi mencampuri urusan dalam negara Indonesia,'' katanya.
Menurut Sudrajat, TNI pada dasarnya tetap memegang komitmen dan sumpahnya serta memberi jaminan bahawa TNI tidak akan pernah melakukan kudeta.
''Saya berharap bangsa Indonesia akan melupakan isu kudeta ini. Ia hanya khabar angin sahaja dan berunsur politik kerana TNI tidak akan melakukan kudeta,'' katanya lagi.
Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Akbar Tanjung pula berkata, rakyat Indonesia harus berhati-hati terhadap isu kudeta ini, apatah lagi jika ia digembar-gemburkan oleh pihak luar.
''Kita harus memahami tidak semua pihak luar mempunyai keinginan untuk melihat Indonesia tenang dan aman,'' katanya kepada wartawan di sini hari ini.
Beliau berkata, TNI sama sekali tidak akan melaku rampasan kuasa kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, malah akan merugikan negara.
''Saya meragui dakwaan bahawa TNI akan melakukan kudeta dan berharap masyarakat akan terus kritis serta profesional dalam menilai pemerintahan negara yang ada sekarang,'' katanya.
Sementara itu, pengamat politik dari Universiti Gajah Mada, Afan Gaffar berkata, kenyataan Holbrooke berhubung isu rampasan kuasa tentera itu sesuatu yang cukup mengecewakan.
Katanya, ia merupakan satu bentuk campur tangan AS terhadap pemerintah Indonesia dan memaparkan pengaruh negara kuasa besar itu dalam politik dalaman negara ini.
''Beberapa bulan lalu, AS juga telah campur tangan dalam penggantian Ketua Badan Pemulihan Perbankan Negara (BPPN) dan pengaruh mereka semakin ketara apabila Abdurrahman membatalkan proses perundangan Perusahaan Listik (Elektrik) Negara (PLN) terhadap sebuah syarikat AS iaitu PT Paiton,'' katanya.
Beliau berkata, tuduhan yang menyatakan TNI akan melakukan kudeta adalah tidak munasabah sama sekali kerana pasukan itu amat mengetahui keadaan dan kemampuannya sekarang ini.
''Isu kudeta ini tidak masuk akal kerana dari mana TNI akan mendapat sokongan rakyat atau masyarakat antarabangsa,'' katanya. - Utusan

Tidak ada komentar:

Posting Komentar