Sabtu, 20 November 2010

Al-Qistas al-Mustaqim (The Just Balance)

Al-Qistas al-Mustaqim (The Just Balance)

Pada kali ini, saya ingin memperkenalkan buku tulisan Hujjah al-Islam Imam al-Ghazali yang bertajuk al-Qistas al-Mustaqim. Di tangan saya ada terjemahannya yang bertajuk The Just Balance yang diterjemahkan oleh D.P. Brewster pada tahun 1978 yang merupakan ahli akademik di University of Canterbury ketika itu.

Buku ini ditulis dalam bentuk polemik; dalam bentuk soalan dan jawapan. Buku ini ditulis untuk menjawab persoalan yang berkaitan tentang kepercayaan golongan Isma’ili, salah satu kelompok Shi’ah, terhadap imam-imam mereka yang diberi taraf maksum. Golongan ini juga dikenali sebagai Batiniyyah dan buku ini ditujukan khusus kepada salah satu kelompok di dalam golongan ini yang dikenali sebagai Ta’limiyyah. Di dalam golongan Isma’iliyah ini, terdapat satu kelompok fanatik yang dikenali sebagai “Hashshashin” yang membentuk perkataan Inggeris “assassin”.

Berbalik kepada buku tersebut, Imam al-Ghazali menggunakan kaedah soal jawab dalam menangani persoalan yang menyentuh tentang kepercayaan Ta’limiyyah. Imam al-Ghazali ingin menunjukkan bahawa manusia tidak memerlukan imam yang maksum kerana kewujudan Rasulullah dan Kitabullah sudah cukup untuk menjawab segala persoalan yang menimbulkan kontroversi.

Dalam buku ini, Imam al-Ghazali menerangkan kaedah penggunaan syllogisma dalam memahami bagaimana sesuatu ilmu itu diukur. Imam al-Ghazali juga menerangkan bagaimana kaedah ini disalahgunakan oleh golongan Isma’ili dan golongan lain contohnya Mujassimah.

Sebagai contoh, analogi yang digunakan oleh golongan Mujassimah:

Premis pertama: Setiap agen mempunyai tubuh.
Premis kedua: Pencipta (Tuhan) adalah agen.
Jadi Dia mempunyai tubuh.

Jadi, Imam al-Ghazali mengemukakan soalan, adakah anda golongan Mujassimah sudah menyelidik setiap agen pencipta mempunyai tubuh. Adakah anda hanya menyelidik agen pencipta seperti pembuat kasut, tukang jahit, tukang kayu dan lain-lain tetapi tidak menyelidik agen pencipta langit dan bumi? Golongan Mujassimah ini seperti segolongan manusia yang mengatakan semua haiwan berjalan dengan kaki setelah menyelidik kuda, unta, gajah, serangga dan burung, tetapi mereka tidak menyelidik ular dan cacing. Begitu juga Imam al-Ghazali menerangkan kesalahan golongan Mu’tazilah dan lain-lain dalam menggunakan kaedah syllogisma.

Kemudian, antara lain Imam Ghazali menerangkan kaedah dalam menilai sesuatu secara adil tanpa dipengaruhi prejudis dan hawa nafsu. Menurutnya, hendaklah kita menilai sesuatu itu berdasarkan sesuatu itu, bukan menilai berdasarkan siapa yang mengatakannya, apakah kita suka atau benci kepada siapa yang mengatakannya atau penggunaan kata-katanya yang kelihatan menarik, contohnya bahasa-bahasa akademik dan teknikal dan berbunga-bunga. Imam al-Ghazali berkata:

(Y)ou did not look at a saying for its own sake, but only look at its elegant construction or the good opinion you have of him who utters it. If its form is disagreeable to you, or the one who utters it is hateful in your estimation, you reject the saying, even though it may be true in itself. If, again, someone were were to say to you: “Say: There is no god but God, and Jesus is the Messenger of God,” you would be repelled by this and would reply: “This is a statement from the Christians. How could I say this?” You would not have the intelligence to know that in itself this statement is true and that the Christian is hateful not because of this statement, nor for others like it, but only because of two. The first of these that Muhammad is not the Messenger of God, and the second is that God is the third of three. All else that he says is true.

Imam Ghazali juga menerangkan bagaimana untuk memilih pendapat ‘ulama’ dalam masalah fiqh. Imam al-Ghazali menggunakan analogi pesakit dan doktor. Menurut beliau, pesakit tersebut hendaklah memilih mana-mana doktor yang difikirkan terbaik berdasarkan pemikiran yang waras dan penilaian yang sepatutnya. Menurut beliau lagi, adalah tidak waras bagi seorang pesakit yang telah diberi ubat oleh doktor yang bertauliah untuk mempersoalkan mengapa doktor-doktor lain berlainan pendapat sedangkan nyawanya di hujung tanduk. Imam al-Ghazali berkata:

If someone says to you: “I find it difficult to proceed with circumspection when questions arise in which there is neither yea nor nay, that is whether I should pray in the morning or not and whether I should pronounce the name of God with a loud voice, to such a man I should say: “Now, search within your soul, and consider which of the Imams you find most acceptable, and whose answer to these points carries most weight. If, for example, you were sick and there were many doctors in your town, you would choose one of them by an effort of appraisal and not by whim of a moment or because of your inclination. In matters of religion such an effort of appraisal suffices. Whatever is, in your opinion, most fitting, that follow. If the Imam is right, then you and he will have a double recompense; if not, then both of you will accrue a single recompense.

Seterusnya, Imam al-Ghazali berkata, dalam menilai sesuatu, kita menilai sesuatu berdasarkan apa yang boleh kita perolehi melalui penilaian kita. Menurut Imam al-Ghazali, manusia tidak dibebankan dengan beban yang tidak dapat dipikul, maka apabila kita telah menilai sesuatu dengan sebaik-baik penilaian, dan kita salah menilainya, maka kita tidak dibebankan oleh dosa. Imam al-Ghazali memberikan contoh, seorang musafir tidak disyaratkan untuk menghadap kiblat dengan sebenar-benarnya, tetapi berdasarkan penilaian terbaik musafir itu untuk menentukan arah kiblat berpandukan gunung, bintang dan matahari. Begitu juga Imam al-Ghazali berkata seseorang itu disyaratkan untuk memberi zakat kepada mereka yang dinilai sebagai orang miskin kerana pemberi zakat tidak boleh menyelami hati manusia. Dengan ini, Imam al-Ghazali menolak kepercayaan golongan Ta’limiyyah yang meletakkan imam-imam mereka pada taraf maksum.

Sebenarnya, banyak lagi perkara yang dibincangkan oleh Imam al-Ghazali. Melalui buku ini, boleh dilihat Imam al-Ghazali mempunyai kebolehan mantiq yang tinggi. Ini menunjukkan Imam al-Ghazali telah menguasai bidang falsafah dengan baik, termasuk falsafah Aristotle.

Cuba kita bandingkan kebolehan mantiq yang tinggi yang dipunyai oleh Imam al-Shafi’i dalam menghasilkan kitabnya al-Risalah dan al-Umm. Jelas bahawa kebolehan untuk menggunakan akal yang betul berdasarkan cahaya Sunnah dan Kitabullah amat penting untuk menjadi seorang Muslim yang bebas dari dibebankan oleh kontroversi-kontroversi yang mengganggu kehidupan. Bacalah buku ini. Buku ini elok dibaca dengan sebuah lagi kitab Imam al-Ghazali yang bertajuk Munqidh Min al-Dhalal.

LIHAT http://malakian.blogsome.com/2007/06/22/al-qistas-al-mustaqim-the-just-balance/

Tidak ada komentar:

Posting Komentar